actions speak louder than words

Monday, May 10, 2010

Posted by yuss yusoff on Monday, May 10, 2010 in , , , , | No comments
Salam.

Dilaporkan di akhbar dan paparan tv sehari dua ini bahawa kerajaan dalam cadangannya akan meluluskan lesen judi (menjadikan ianya halal dari sudut peraturan dan undang-undang di Malaysia) bersempena dengan Pusingan Akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan Jun ini.

Berita ini sudah tentunya mengejutkan ramai pihak apatah lagi ianya cadangan dari seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussein, yang sepatutnya mendokong tak pun sekurang-kurangnya peka dengan sensitiviti keagamaan. (Inikah perangai Timbalan Menteri yang dicanang akan menjadi Menteri Besar Kelantan suatu ketika dulu, nasib tak jadi kalau tak Kelantan mungkin berubah jadi Darul Judi, wal`iyazubillah).

Malang sungguh apabila isu kepekaan dan sensitiviti agama ini diketepikan dan keuntungan diutamakan. Apalagi apabila jawatan sehebat Timbalan Menteri Kewangan dipergunakan semata-mata untuk meraih laba (mungkin) dan bukannya menolak bala, kerana dimaklumkan sudah ada pihak yang membida untuk dapatkan lesen tersebut. Rupanya pemimpin kita lebih peka tentang 'ucapan politik' di masjid, ketaatan kepada Raja dan Sultan diutamakan dari isu judi yang memang jelas haramnya disebut dalam al-Quran dan Hadith :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maa’idah : ayat 90)

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Syurga)." (Sahih Muslim [Bahasa Arab sahaja]: 3733)

Bahkan alasan yang digunakan Datuk Dr Awang Adek Hussein (kerajaan) ianya dibenarkan bagi mengawal aktiviti pertaruhan dan perjudian yang tidak boleh dikawal kerajaan amat-amat tidak boleh diterima akal. Lucu juga bila disebut tak boleh dikawal? Jadi apa tugas agensi di bawah Kementerian Kewangan ini?. Adakah dengan membenarkan judi boleh mengawal judi? Pelik+lucu.

Lagi lucu bila ada kenyataan seperti ini : "Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).- Utusan Malaysia 06 Mei 2010.

Timbul persoalan adakah pihak kerajaan merasakan judi tu mendatangkan manafaat, baik untuk kerajaan (ekonomi)? Adakah kerajaan berpuas hati apabila dapat mengawal operasi pertaruhan haram dan perjudian ini sebagaimana kawalan sedia ada untuk Sports TOTO, Magnum, Pan Malaysia, Da Ma Chai dll. yang sebahagian 'board'nya dikatakan dianggotai orang Melayu Islam? Tidak cukupkah lagi dengan judi halal yang sedia ada (2 pusat di Malaysia)?

Sudah sedia maklum bahawa bahana judi itu boleh merosakkan urat saraf umat manusia dengan kerosakkan yang mnenghancurkan baik dari sudut individu, masyarakat bahkan negara sekalipun. Dari masalah malas bekerja, kerugian masa dan wang ringgit, keruntuhan moral dan rumahtangga sehinggalah kepada kes-kes jenayah ragut, samun dan rompak.

Nampaknya kesungguhan kerajaan dalam membanteras, menghapus dan mengawal amalan judi dan perkara-perkara lain yang dilarang syarak seolah-olah 'pilih kasih'. Gajah depan mata buat-buat tak nampak tapi semut yang nun jauh di sana juga yang diintainya.

Hasil dari duit judi juga dicadangkan digunakan untuk membiayai kos pengurusan sukan, walhal suatu ketika dulu kita mencanang beberapa isu antaranya : syarikat tembakau dilarang menaja pasukan lumba F1. Iklan rokok di kaca TV tidak lagi dibenarkan. Iklan arak di akhbar diharamkan (tapi kebelakangan ini iklan arak telah mula terpamer di akhbar The Star)- mana polisi kerajaan dulu?). Nampaknya slogan 1 Malaysia sudah mula meresapi setiap denyut nadi pemimpin kita sehingga 'membutakan' mereka untuk membezakan antara halal dan haram.

Sesekali kerajaan reverse selangkah kebelakang (dengan membenarkan lesen judi ) , memungkinkan banyak lagi usaha kerajaan memurnikan rakyat akan gagal dan membazirkan wang rakyat sebagaimana gagalnya program 'tak nak merokok'. Semoga kita tergolong dalam mereka yang sentiasa peka dan sedar akan ketetapan hukum Allah SWT ke atas kemaslahatan umat manusia. Amin.

Wassalam

Berkaitan :

1. Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan untuk Piala Dunia
2. Judi Tetap Haram Walaupun Berlesen

0 comments:

Search Our Site

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter