actions speak louder than words

Saturday, December 27, 2008

Posted by yuss yusoff on Saturday, December 27, 2008 in | 1 comment
Jam 3.45 ptg, dapat panggilan dari ayah. Ini mesti ada berita yang penting. Biasanya jarang sekali ayah menelefon pada waktu begini. Tepat sekali tekaan saya, berita tentang nenek meninggal. Innalillahi wa inna ilaihiraji`uun.

Sehari sebelumnya ayah sudah memaklumkan "mak" (panggilan saya untuk nenek) sakit tenat. Jadi dalam tempoh dua hari saja ajalnya sudah sampai. Walaupun sudah setahun lebih arwah tidak boleh berjalan kerana bengkak sendi. Begitulah bila sudah sampai ajalnya, sesuai dengan maksud firman Allah SWT :

Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. (al-A’raf : 34)

Bila dapat berita "mak" sakit tenat saya memutuskan tak perlulah segera balik kerana baru 2 minggu saya balik beraya di Kelantan.

Tapi bila panggilan ptg 23.12.2008 menyebabkan saya tidak berlengah lagi. Kalau boleh saya mahu segera balik ke Kelantan, tapi apakan daya, banyak halangannya. Isteri saya mesti habiskan peperiksaan PTKnya, jadi perlu tunggu habis waktu pejabat. Jadi saya memutuskan untuk balik jam 10.00 mlm apabila semunya telah dibereskan.

Dalam perjalan balik saya teringat semua kisah saya dengan "mak". Zaman kanak-kanak adalah menyaksikan hubungan yang paling rapat antara saya dengan "mak". Sepanjang masa dihabiskan di rumah "mak" balik kerumah cuma untuk tukar baju seluar je. Makan, tidur bermain di rumah mak la, walaupun rumah saya hanya berselang sebuah dengan rumah "mak". Begitulah lazimmya sampai sekolah menengah.

Oleh kerana saya bersekolah berasrama, belajar di U dan bekerja di luar kampung, jadi masa untuk "melekat" dengan "mak" amat terhad. Walaupun setiap kali pulang dapat juga bersembang dengan orang tua yang suka bercerita tentang susur galur keluarga itu.

Arwah dikebumikan jam 10.00pg. Tidak putus-putus orang menziarahi arwah dari petang kemarin, malam tadi sampaila pagi ini (24.12.2008). Dari orang berpangkat (ADUN Mengkebang) sampaila kepada saudara mara jauh dan dekat.

Bermula dari melihat wajah arwah (untuk kali terakhir) sambil membacakan ayat suci, mengusung jenazah, sampailah menimbuskankan tanah mengebumikannya, kadangkala membuatkan saya sebak, pilu dan sedih. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak menangis. Namun, menitis juga air mata akhirnya. Walaupun saudara mara awal-awal lagi teresak-esak.

Saya tunggu sampai habis talqin dibaca. walupun ramai yang telah beredar dari kubur. Sesekali terfikir : kalaulah masa ajalnya boleh dilewatkan supaya saya sempat bertemunya, tapi itu sudah tentunya MUSTAHIL kerana Allah berfirman maksudnya :

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Luqman: Ayat 34)

Jelasnya tiada siapa yang mampu mencampuri urusan Allah dalam perkara kematian makhluknya.

Hanya doa supaya roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beroleh keberuntungan. Amin. Al-Fatihah.

1 comments:

Anonymous said...

Al-Fatihah dan takziah buat ustaz sekeluarga...

Search Our Site

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter