KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang
berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada
peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai
juara kategori qari (lelaki).
Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah
al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran
Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia
menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).
Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19,
yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama
seperti
markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.
Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah
Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan
serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang
tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan
yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis
itu.
Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata
dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000,
cenderamata serta sijil penyertaan.
Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang
tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta
isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana
penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila
dinobatkan
sebagai juara.
"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan
mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan
bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca
al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada
tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.
Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara
ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang
banyak
memberi sokongan serta dorongan kepadanya.
"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga dan diri sendiri,"
kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian
Islam menerusi
penterjemah.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu
Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai
6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara
antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria.
Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid.
Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama
0 comments:
Post a Comment