actions speak louder than words

Tuesday, April 28, 2009

Posted by yuss yusoff on Tuesday, April 28, 2009 in , | 4 comments
Terkilan sangat-sangat bila menyaksikan "red warrior" kecundang di tangan "red giant". tapi itulah hakikat yang mesti diterima. Jauh dilubuk hati mengimpikan kejayaan yang julung kalinya namun apakan daya, bak kata memang payah la "Manchester City" nak menang dengan "Manchester United" ni.

Saya ni bukan pandai sangat main bola ni, setakat liga kampung hadiah kambing tu boleh la . Tapi kira okey la, dapat beli boot Reebok Prestige dari titik peluh sendiri semasa tunggu SPM 1992. Kira hebat la masa tu. Dua sukan saja yang saya betul-betul minat : bolasepak dan sepaktakraw... tapi Malaysia nampaknya makin ketinggalan...macamana ni?

Apapun malam final itu saya, isteri dan anak tercongok depan tv. Awal-awal lagi saya kenakan syarat : semua program pada malam ini dibatalkan, berkuatkuasa serta merta! Terpaksalah anak dan isteri mematuhi arahan "Perdana Menteri" pada malam itu. Isteri saya yang tidak pernah menyokong Kelantan (kerana dia penyokong kuat Hijau Kuning) pun ikut serta mengulas macam Shebby Singh dan Collette Wong la pulak. Anak saya yang 2 tahun tu pun bila ditanya sokong Selangor ke Kelantan ? laju je cakap "Kedah" ???

Kekadang sakit hati juga dengar ulasan Hasbullah ni, nampak sangat bias kat Selangor. Tau la dia penyokong kuat Selangor, tapi agak-agak la. Subkidin pun sama, sampai 4 kad kuning bagi, Selangor tak ada pun? bersih sangat ke game Selangor malam tu?. Tapi bila Nor Farhan score gol, lain pula ulasan Hasbullah ni, macam tak percaya aje bunyinya. Ini mula la nak komplen...

Detik itu, saya menjangkakan impian akan menjadi kenyataan! Namun apakan daya kealpaan barisan pertahanan memberikan gol penyamaan kepada Selangor! Kecewa sungguh, apatah lagi bila Indra gagal dalam sepakan penalti. Tanda-tanda gagal tu dah nampak. Itulah bolasepak!

Namun di sebalik kekecewaan ada kegembiraan, kemampuan menempatkan diri dalam pertandingan akhir Piala FA yang pastinya bukan nasib. Itu membuktikan kemampuan sebenar skuad 2009. Tahniah kepada pihak Pengurusan, Penaja dan Pemain. Rasanya pihak pengurusan kena jenguk ke zaman 90 an dulu, di mana Kelantan pernah menampilkan banyak pasukan kelab dan negeri bertanding dalam Liga bolasepak di Malaysia (Kelantan TNB, JPS, SKMK , JKR dll) yang rata-ratanya dibarisi ramai pemain-pemain tempatan. Tapi di mana dan ke mana hala tuju pemain-pemain hebat di kelab-kelab dulu?

Belajarlah dari kesilapan. GOMO KELATE GOMO (liga super pulak la).

Saturday, April 25, 2009

Posted by yuss yusoff on Saturday, April 25, 2009 in , | No comments
Menunggu esok malam adalah satu debaran yang maha hebat buat penyokong-penyokong pasukan bolasepak Kelantan dan Selangor. Bagi Selangor ianya seakan mengulangi sejarah kegemilangan empat kali kejuaraan Piala FA. Namun bagi pemain, pegawai dan penyokong setia pasukan Kelantan ianya saat-saat yang penuh emosi.

Apa tidaknya, penantian 39 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir, ibarat bulan jatuh ke riba (peluang yang di cita telah pun tiba), cuma kebijaksanaan taktikal dan teknikal saja yang bakal menjadikan impian kejuaraan satu kenyataan.

Melihat promo di TV dan akhbar, teruja juga untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri 'pasukan tanah tumpah darah' beraksi dalam Piala yang penuh berprestij itu. Namun apakan daya berada jauh di utara dengan tangungjawab dan tugasan memustahilkan impian tersebut.

Teringat ketika zaman persekolahan di SMKA Falahiah, ada ketikanya sanggup berjalan kaki dari Pasir Pekan ke Stadium Sultan Muhammad IV (kadangkala menumpang lori dari Kg Laut : bersesak-sesak di belakang lori yang hanyir dengan bau ikan, udang dan sotong : tak kisahla janji dapat tengok bola. Dengan slogan Gomo Kelate Gomo, nama-nama pemain import seperti Bhonpoop Praphut, Vicheat Kongmak, Anang Phasaeng menjadi pujaan semua...

Pastinya harapan tinggi ditujukan untuk pasukan Kelantan semoga berjaya mengelek piala ke negeri CikSiti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga. Ayuh Wira Merah !

Sunday, April 12, 2009

Posted by yuss yusoff on Sunday, April 12, 2009 in , | 2 comments
Buku ini sebenarnya saya beli semasa cuti sekolah Mac lepas, di Galeri Buku Syabab di Kompleks PKNS BB Bangi, tetapi oleh kerana kesuntukan masa serta tuntutan tugas menyukarkan saya menghabiskan bacaan.

Kali pertama melihat tajuknya saja, sudah membuatkan saya tertarik untuk mengetahui intipati dalam buku ini apatah lagi ianya melibatkan dua tokoh besar khalifah dalam sejarah pemerintahan Kerajaan Islam. Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz.

Alangkah bagusnya jika Menteri-Menteri yang baru dilantik dengan portfolio baru oleh PM baru, bermuhasabah diri dan menjadikan "Dua Umar " ini sebagai rujukan.

Siapapun tidak menyangka apabila Lim Guan Eng KM P.Pinang mengatakan "Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam dalam gerak kerja saya". Walaupun ramai yang memandang sinis kenyataanya itu namun sebagi Muslim kita boleh lihat dari sudut positif. Alangkah bahagianya jika ayat itu dituturkan oleh Pak Menteri-Menteri kita yang rata-ratanya Muslim selepas majlis angkat sumpah mereka!

Walaupun kehebatan kisah "Dua Umar" dalam buku ini diolah secara bersahaja (bagi saya) , namun ianya tidak sedikitpun mengurangkan "maksud tujuan" buku ini, apatah lagi ianya disusuli dengan dalil-dalil naqli sekali sekala diadaptasikan dengan suasana zaman sekarang yang penuh dengan fitnah dan ketamakan. Selamat membaca...

Wednesday, April 08, 2009

Posted by yuss yusoff on Wednesday, April 08, 2009 in , | No comments
Telah muktamad keputusan pilihanraya kecil di 3 kawasan yang berbeza. Masing-masing mengekalkan status-quo di tempat masing2. Tepat jangkaan awal pemerhati dan penganalisis politik. Agak sukar bagi pihak tertentu menerajah pihak lain walaupun menggunakan "senjata" yang memang tidak terduga oleh lawan masing2.

Sederas manapun gelombang yang melanda berjaya juga ditepis dengan mudah. Ini membuktikan bahawa kepercayaan, kefahaman, pegangan dan kemahuan pengundi2 amat-amat sukar digugat. Ini kerana mereka telah lama "terdidik" dengan isu2 yang sentiasa menyelubungi suasana hangat pilihanraya kali ini.

Banyak ulasan yang dibuat tentang keputusan pilihanraya tersebut oleh penganalisis politi yang paparkan di kaca2 TV. Namun pada hemat saya BN tidak pernah belajar dari kekalahan di Trengganu dan P.Pinang yang lepas. Kebobrokan menguasai media elektronik dan media cetak mungkin bahkan menghalang kebebasan akhbar yang lain dengan menggunakan akta2 yang tersedia ada, tanpa ada alasan yang munasabah, menjadikan BN makin dijauhi, di pandang sinis dan jelek.

Walaupun ada penawarnya yang ditaburkan oleh PM baru (memansuhkan larangan dan isu ISA) namun ianya sudah terlambat bagi meraih sokongan. Apapun TAHNIAH kepada Datuk Seri Nizar atas kemenangan.

Allahuakbar!

Friday, April 03, 2009

Posted by yuss yusoff on Friday, April 03, 2009 in , | 1 comment
Havoc juga suasana ketika ini, dengan kes di Perak belum lagi diselesaikan mahkamah, tamatnya perhimpunan Agung UMNO yang penuh dengan kontroversi di mana pemimpin yang telah melakarkan dirinya dalam 'rekod yang tercalar' telah sebulat suara dipilih menjadi pemimpin. "KAGUMNYA SAYA"!!! Diikuti pula dengan 3 pilihanraya yang diadakan serentak sehinggakan merekodkan sejarah, 15 calon beradu nasib bagi menduduki satu kerusi tambah menghangatkan lagi suasana.

Tetapi isu-isu tersebut seolah-olah sejuk sedikit ketika pelantikan PM baru dijalankan pada hari ini. Termetrainya PM ke 6 ini, semua rakyat Malaysia mengharapkan perubahan yang besar dalam semua perkara terutamanya semangat " adil dan saksama" untuk semua.

Sebagai rakyat yang turut sama memerhatikan keadaan "kelam kelibut" di sekeliling kita, di mana semakin menjauhnya keadilan, memuncaknya keserakahan nafsu dan terlalu mendambakan habuan-habuan dunia, merasa teramat rimas, saya tertanya-tanya adakah tertunai hajat dan impian rakyat Malaysia...?

Teringat saya kata-kata Hugo Chavez ketika mengunjungi Mahmood Ahmadinejad (2 hari lepas), apabila ditanya pendapatnya tentang Barack Obama, maka dengan sinisnya beliau menjawab "Obama masih lagi mengetuai satu empayar kerajaan "yengki", tiada apa yang boleh diharapkan daripadanya, tetapi dia patut diberi peluang untuk mewujudkan satu kerajaan yang benar-benar demokratik yang bernama Amerika Syarikat". Jadi apakah begitu jadinya di Malaysia??? Benarkah "TEORI R.A.H.M.A.N" tetap terlaksana???

Sukar untuk menjawabnya, oleh kerana saya bukanlah seorang pakar dalam politik, namun saya rasa bolehlah kita renung bersama butir-butir dalam video ini...

Search Our Site

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter