actions speak louder than words

Sunday, December 28, 2008

Posted by yuss yusoff on Sunday, December 28, 2008 in | No comments
SELAMAT TAHUN BARU HIJRIYYAH 1430.
SEMOGA KITA SEMUA BERADA DI BAWAH LEMBAYUNG RAHMAT ALLAH SWT SELAMANYA.
AMIN


Saturday, December 27, 2008

Posted by yuss yusoff on Saturday, December 27, 2008 in | No comments
Mungkin, akan itulah di antara perkataan yang sering menjadi buah mulut Pak-Pak Menteri kita. Ketika harga barang naik Pak Menteri berkata "kita akan memantau harga barang", "kita akan mengambil tindakan di atas peniaga yang engkar". Ketika harga minyak dunia turun Pak Menterinya juga berkata "kita akan menetapkan harga minyak mengikut harga minyak dunia" walaupun harga minyak dah menjunam jatuh, tapi harga minyak di Malaysia macam malu-malu nak turun.

Begitulah gambaran berita muka depan Utusan hari ini.

Kesempatan pulang kekampung pada hari raya eiduladha yang lepas dan kematian nenek 2 hari lepas, dapat la berbual-bual dengan orang kampung yang majoritinya mencari makan dengan menoreh getah. Semuanya mengeluh, apa tidaknya selepas hari raya eiduladha harga getah (sekerap) menjunam RM0.60 sen saja sekilo. Ketika ini RM1.10 sen sekilo.

Ya Allah, nak makan apa la dengan harga sebegitu. harga barang pulak mencanak naiknya. Saya yang membesar hasil duit getah sekerap ini merasakan sedikit ketidakadilan bagi penoreh-penoreh getah. Ya la kalau di Kedah Perlis tanaman padi mereka ditenggelami air dapat juga subsidi mengikut ekar tanaman, kalau pekebun sawit di Pahang Dan selatan tanah air ada juga subsidinya. Penoreh Getah? subsidi tanam semula, baja ada la.

Seingat saya harga yang paling rendah sekitar lewat 80an ialah RM0.80 sen per kg. Ketika itu saya menolong ayah dan mak mengutip getah sekerap (sebab saya tak tau menoreh, luka pokok kata mak saya, nanti pokok rosak, susu tak akan keluar banyak dan pokok pendek umur) .

Tapi ini dah tahun 2008, dah 20 tahun berlalu. Jika menatap akhbar, tengok tv "ekonomi kita stabil" "sistem kewangan negara kukuh". Betulkah?

Ketika ini orang kampung saya tidak berapa "lalu" untuk menoreh getah tambahan pula jika kebun "demo" berada di atas puncak bukit, lagi la berfikir 3 4 kali nak pergi menoreh. "Tak padan dengan kudrat" katanya.

Sedarlah wahai Pak Menteri yang duduk dikerusi empuk selesa, yang makan hidangan penuh meja, membeli belah di pasaraya mega, melancong keluar negara, pakai baju berjenama, ramai lagi RAKYAT YANG MENDERITA.
Posted by yuss yusoff on Saturday, December 27, 2008 in | 1 comment
Jam 3.45 ptg, dapat panggilan dari ayah. Ini mesti ada berita yang penting. Biasanya jarang sekali ayah menelefon pada waktu begini. Tepat sekali tekaan saya, berita tentang nenek meninggal. Innalillahi wa inna ilaihiraji`uun.

Sehari sebelumnya ayah sudah memaklumkan "mak" (panggilan saya untuk nenek) sakit tenat. Jadi dalam tempoh dua hari saja ajalnya sudah sampai. Walaupun sudah setahun lebih arwah tidak boleh berjalan kerana bengkak sendi. Begitulah bila sudah sampai ajalnya, sesuai dengan maksud firman Allah SWT :

Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. (al-A’raf : 34)

Bila dapat berita "mak" sakit tenat saya memutuskan tak perlulah segera balik kerana baru 2 minggu saya balik beraya di Kelantan.

Tapi bila panggilan ptg 23.12.2008 menyebabkan saya tidak berlengah lagi. Kalau boleh saya mahu segera balik ke Kelantan, tapi apakan daya, banyak halangannya. Isteri saya mesti habiskan peperiksaan PTKnya, jadi perlu tunggu habis waktu pejabat. Jadi saya memutuskan untuk balik jam 10.00 mlm apabila semunya telah dibereskan.

Dalam perjalan balik saya teringat semua kisah saya dengan "mak". Zaman kanak-kanak adalah menyaksikan hubungan yang paling rapat antara saya dengan "mak". Sepanjang masa dihabiskan di rumah "mak" balik kerumah cuma untuk tukar baju seluar je. Makan, tidur bermain di rumah mak la, walaupun rumah saya hanya berselang sebuah dengan rumah "mak". Begitulah lazimmya sampai sekolah menengah.

Oleh kerana saya bersekolah berasrama, belajar di U dan bekerja di luar kampung, jadi masa untuk "melekat" dengan "mak" amat terhad. Walaupun setiap kali pulang dapat juga bersembang dengan orang tua yang suka bercerita tentang susur galur keluarga itu.

Arwah dikebumikan jam 10.00pg. Tidak putus-putus orang menziarahi arwah dari petang kemarin, malam tadi sampaila pagi ini (24.12.2008). Dari orang berpangkat (ADUN Mengkebang) sampaila kepada saudara mara jauh dan dekat.

Bermula dari melihat wajah arwah (untuk kali terakhir) sambil membacakan ayat suci, mengusung jenazah, sampailah menimbuskankan tanah mengebumikannya, kadangkala membuatkan saya sebak, pilu dan sedih. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak menangis. Namun, menitis juga air mata akhirnya. Walaupun saudara mara awal-awal lagi teresak-esak.

Saya tunggu sampai habis talqin dibaca. walupun ramai yang telah beredar dari kubur. Sesekali terfikir : kalaulah masa ajalnya boleh dilewatkan supaya saya sempat bertemunya, tapi itu sudah tentunya MUSTAHIL kerana Allah berfirman maksudnya :

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Luqman: Ayat 34)

Jelasnya tiada siapa yang mampu mencampuri urusan Allah dalam perkara kematian makhluknya.

Hanya doa supaya roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beroleh keberuntungan. Amin. Al-Fatihah.

Saturday, December 13, 2008

Posted by yuss yusoff on Saturday, December 13, 2008 in | No comments
Lama juga tak ada entry kat blog ni, hampir 10 hari, dari sebelum raya eiduladha hari tu sampaila sekarang. Sebenarnya saya baru balik beraya dari Kelantan. Bertolak lebih kurang pukul 2.45 ptg dalam hujan renyai-renyai, lambat sikit perjalanan (hampir 8 1/2 jam) kerana terpaksa follow pemandu-pemandu yang tak berapa berani menekan pedal lebih dari 90KM/J menyusuri jalan Tanah Merah-Jeli-Grik yang bersimpang siur.

Banyak juga cerita yang boleh dikongsikan daripada khutbah raya, khutbah jumaat dan majlis walimatul `urus sepupu perempuan di kampung. Oleh kerana isunya hampir sama iaitu kekeluargaan jadi ianya lebih mudah dirangkumkan.

Hari pertama beraya di Kedah, tersentuh juga hati bila khatib membaca khutbah yang berkisar tentang masaalah kekeluargaan. Fokusnya mengenai semangat berkorban namun isunya dialihkan sedikit menjurus kepada peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak agar menjamin kebahagian keluarga sekaligus memungkinkan penghasilan masyarakat yang penuh dengan mahabbah dan rahmah.

Pengorbanan Bapa (bakal ) Diperlukan Di Peringkat Paling Awal :

Memilih bakal isteri.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Secara jelasnya hadith ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang sememangnya menjadi impian setiap lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dan cantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya.

Namun apa yang lebih penting, hadith di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.

Mungkin wanita yang beragama dan berakhlak mulia seperti saranan hadith itu tidak memiliki pakej berharta, jelita, berdarjat, namun pengorbanan yang besar bakal bapa mengenepikan gelojak hati, akan dapat dilihat hasilnya apabila dikurniakan zuriat kelak. Insyaallah dengan paduan suami yang berakhlak dan isteri yang beragama diadun dengan sifat mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (kasihan belas) nescaya bakal tercapailah impian keluarga sakinah (tenang dan bahagia)

Pengorbanan Diperingkat Akhir :

Para bapa juga sangat penting iaitu ketika menikahkan anak perempuan mereka. Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak khususnya perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama.

Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:

“Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu
dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”. Riwayat Tirmizi

Jesteru itu, jadikanlah sifat-sifat ini (baik akhlak dan agama) dan sebagai kriteria utama di dalam memilih bakal isteri atau suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut.

Wanita atau lelaki yang
sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, sebaliknya wanita atau lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya raya, hakikatnya ia adalah miskin. Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidupnya akan melenyapkan harta kekayaan, ktinggian darjatnya, kejelitaan wajahnya.

Suami isteri yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang kemurkaan Allah SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah mawaddah dan rahmah dapat dikecapi? Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik.

Baginda
mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang menikahkan
anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.

Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. Ini kerana perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal dikemudi bersama dengan pasangan.

Seandainya saranan Nabi SAW tidak diendahkan maka tidak hairanlah zaman ini wujudnya anak yang cuba menjatuhkan maruah ibubapa secara terangan atau sembunyi bahkan lebih dahsyat lagi ada yang cuba membunuh insan yang bersusah payah melahirkan mereka ke dunia. Wal`iyazubillah!

Kesimpulannya :

kaum lelaki mahupun wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal
pemilihan jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial” yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.

Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang
bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).

Wallahua`llam.




Wednesday, December 03, 2008

Posted by yuss yusoff on Wednesday, December 03, 2008 in | 2 comments
Ramai dalam kalangan kita yang mungkin tidak berapa faham apa dimaksudkan dengan wadiah, mudhrabah dan lain-lain istilah dalam Sistem Perbankan Islam, walaupun kita sendiri mempunyai akaun, membeli kereta, rumah menggunakan kaedah tersebut. Berdasarkan bacaan dan maklumat dari bank muamalat dapatlah diringkaskan sebahagian dari istilah-istilah yang biasa digunakan.

Konsep Syariah Dalam Perbankan Islam :

Wadiah Yad Dhomanah :
  • bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Pendeposit akan mendepositkan wang ke dalam akaun bank dan mengizinkan bank menggunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan yang tidak bertentangan dengan syara`. Pada masa yang sama, bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya.
Mudharabah :
  • pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperolehi akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui, sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.
Musyarakah :
  • konsep ini biasanya digunapakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. keuntungan yang diperolehi akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.
Murabahah :
  • penjualan barangan adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.
Wakalah :
  • peserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.
Bai` Bithamanin Ajil :
  • penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.
Qardh Hasan :
  • pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walaubagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjam.
Ijarah Thumma Al Bai` :
  • konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Pertama ialah kontrak ijarah (sewaan) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu Bai` (belian) dimeterai.
Bai` al-Inah :
  • pembiaya menjual aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh, seterusnya aset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.
Hibah :
  • hadiah yang diberikan secara sukarela.

Monday, December 01, 2008

Posted by yuss yusoff on Monday, December 01, 2008 in | No comments
Semalam hari yang agak lapang bagi saya, kerana saya berjaya membaca hampir keseluruhan artikel dalam akhbar utusan malaysia. Walaupun akhbar ini bukanlah akhbar pilihan utama saya, tetapi saya samasekali tidak mengenepikan peranannya sebagai penyampai maklumat. Dalam banyak artikel yang saya baca, hanya satu yang betul-betul membuatkan otak saya "menggelegak" : “Hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis” .

Dua kali saya baca artikel ini, supaya pemahaman saya lebih jitu dan padu, selaras dengan kehendak penulisnya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Artikel terakhirnya sebagai Mufti. Melalui pemahaman saya, boleh dikatakan artikel ini sedikit sebanyak mendedahkan beberapa isu yang penting dalam masyarakat Islam di Malaysia terutamanya : peranan Malis Fatwa Kebangsaan & sikap orang Islam (khususnya ahli agama) yang prejudis (istilah yang digunakan penulis).

Bagi saya ada pro dan kontra dua isu tersebut.

Pronya
:

Andai benarlah dakwaan penulis bahawa beliau disisihkan oleh rakan sejawat kerana mempunyai idea-idea yang baru (islah barangkali sesuai) & terlalu berterus terang, perkara ini haruslah diperbetulkan dengan segera.

Majlis Fatwa perlu berperanan lebih efisien bukan saja mengeluarkan fatwa-fatwa yang bahkan perlu memikirkan apa konotasinya dalam masyarakat. Buanglah sikap prejudis, lihatlah idea-idea baru itu sebagai satu alternatif kalau bertentangan hindarkanlah, kalau bertepatan gunapakailah.

Lihat saja apa yang berlaku selepas Majlis Fatwa Kebangsaan mengumumkan pengharaman Yoga. Ianya menjadi isu bahkan timbul polemik besar dalam masyarakat Melayu Islam dan tak terkecuali India Hindu.

Kontranya :

Isu pembaharuan (mengubah minda dan pemikiran masyarakat) perlulah kebijaksanaan yang menyeluruh, janganlah mengharapkan hasil yang memberangsangkan. Apatah lagi menimbulkan suasana "huru-hara" dalam masyarakat.

Pengalaman saya bertugas di Perlis kadangkala mencabar minda juga, apabila diajukan persoalan-persoalan oleh rakan sejawat yang keliru (istilah yang digunakan mereka). Yang pastinya persoalan itu memerlukan penerangan yang maha jelas lagi tuntas. Kenapa nak baca Quran masa orang mati tak boleh?kenapa nak baca tahlil tak boleh?kenapa nak solat hajat berjemaah tak boleh?kenapa baca yaasin untuk program disekolah tak boleh? dan macam-macam lagi.

Jenuh juga nak jawab, walaupun boleh dikemukakan dalil yang jelas dari Quran, hadith dan tarjih ulamak, namun keterbatasan pasti wujud kerana pengetahuan awam yang berbeza peringkatnya pastinya memerlukan penjelasan yang berbeza juga.

Oleh kerana ada beberapa arahan dari pihak tertentu yang menyebut itu tak boleh, ini tak boleh, boleh jadi bid`ah kalau buat (jelas disebut dalam khutbah jumaat) dan macam-macam lagi maka

KESANNYA :

antaranya : ada segelintir imam yang tidak bersetuju, sanggup melepaskan jawatan imam masing-masing. Sudah tentu ini satu kerugian besar bagi masyarakat yang sentiasa perlukan tunjuk ajar.

Jadi pandangan saya biarlah idea-idea baru membetulkan pemikiran masyarakat menggunakan cara yang paling berhemah agar tidak timbul suasana keliru dan huru-hara dalam masyarakat. Berilah satu pemahaman yang jelas dan boleh difahami oleh semua peringkat golongan mayarakat.

“ Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125).

Apapun tahniah kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin kerana peranannya sebagai Mufti di Perlis. Barakh fi kum. Wallahua`lam.

Search Our Site

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter